Pernahkah anda mengalami keadaan anak-anak yang mengamuk.
Tidak semena-mena dia menjerit, membaling barang-barang yang ada, sukar untuk
dipujuk dan sebagainya.
Anak yang sedang mengamuk bagaikan seorang yang hilang
kawalan, sebenarnya sedang menghadapi badai dan taufan dalam emosinya. Dia
memerlukan seseorang yang lebih bijak untuk membawanya keluar daripada keadaan
itu dengan selamat.
Sebagai ibu bapa, anda pula tidak harus hilang kawalan saat
itu, kalau tidak pastinya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Sekiranya anda memarahi anak secara melulu, menengking dan
menjerit kepada mereka, tidak akan memberi kesan yang positif bagi jangka
panjang.
Pada awalnya memanglah mereka akan nampak diam dan nampak
seperti mendengar kata, tetapi hati dan jiwa mereka tercalar. Dalam situasi
seperti ini perlunya nilai-nilai kepimpinan dalam diri ibu dan bapa untuk
mengendalikan keadaan.
Jika mereka tidak faham tindakan anda dan pertalian anda
dengan mereka tidak rapat, apabila mereka semakin besar mereka tidak lagi
menghormati anda. Ini kerana anda tidak menunjukkan kepada mereka yang anda
boleh mengawal keadaan dengan tenang dan tegas, penuh hormat dan kasih sayang
serta tidak melukakan emosi dan jiwa mereka.
Memang kita geram dengan perangainya pada ketika itu, tetapi
ingatlah bahawa anak kita itu tidak dilahir sememangnya degil dan jahat atau
suka mengamuk dan akan mengamuk hanya untuk menyakitkan hati ibu bapa yang dia
sayang.
Fikir-fikirkan kembali mengapa pula dia hendak menjadi
degil? Adakah hanya kerana dia sememangnya dilahirkan degil dan berperangai
seperti hantu?
Adakah mereka ini keturunan Adam A.S yang taat dan kasih
kepada Allah atau keturunan iblis yang tidak mahu taat kepada Allah? Jawapan
soalan ini memberi anda kesedaran betapa tidak baiknya kita bersangka buruk
terhadap anak kita apabila mereka lemah pada ketika itu.
Jika kita fikir sejenak, memang tidak logik untuk kita
memikirkan anak kita ini mengamuk hanya kerana memang itu tabiatnya.
Itulah sebabnya, apabila kita mengawal diri kita, kita boleh
tahu, anak ini mungkin letih, mungkin rasa tidak dikasihi atau keletihan
sehingga dia hilang kawalan emosinya.






0 comments:
Post a Comment