Friday, February 7, 2014

Bijak Membuat Keputusan

Sejarah hidupnya bermula sebagai seorang pelajar yang hanya memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pangkat tiga.

Bermodalkan sebuah motosikal kapcai, bekas pelajar SMK Sultan Abdul Jalil, Kluang, Johor, itu gigih berniaga ikan di kawasan perumahan berdekatan kediamannya demi menyara kehidupan keluarga.



Kesusahan hidup menyebabkan Masri Huat@Hot sentiasa beringat dan lebih berhati-hati dalam mengatur perjalanan hidup yang masih panjang.
Dibandingkan dengan usianya yang baru menjangkau 19 tahun, Masri dilihat lebih matang dalam membuat keputusan hidup.

MASRI (kanan) memantau operasi syarikat dalam menjamin kebersihan dan kesegaran ayam.

Bermula sebagai penjaja ikan secara kecil-kecilan, anak sulung daripada lima beradik itu kemudian memberanikan diri untuk menceburi bidang penternakan burung puyuh.

Masri yang juga Pengarah Urusan Masri Processing Sdn Bhd berkata, kehidupannya kian berubah tatkala diberi peluang untuk memulakan perniagaan ayam di Pasar Borong Kluang pada 1992.

“Tawaran itu membuka laluan ‘rezeki’ kepada saya untuk mendapatkan pendapatan lebih.

“Saya lihat ‘bisnes’ ayam ini amat menguntungkan jika dilakukan bersungguh-sungguh, selain menceburi bidang penternakan pada 1998,” katanya.

Menurutnya, bidang pemprosesan ayam menjadi kerjaya baru yang cuba diterokainya.

“Ketika itu saya terpaksa membuat pilihan antara meneruskan perniagaan menternak ayam atau melepaskannya untuk membuka kilang pemprosesan ayam.

“Memandangkan masa yang ada ketika itu amat terhad, sementara penternakan ayam memerlukan komitmen tinggi, saya akhirnya mengambil keputusan menceburi bidang pemprosesan ayam,” katanya.

Dia bernasib baik kerana menerima suntikan modal berjumlah RM1.8 juta daripada Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank).

“Duit itu saya gunakan untuk membeli pelbagai peralatan termasuk mesin dan bilik penghawa dingin, sementara kilang pemprosesan dibeli hasil wang simpanan.

“Berkat tidak boros dan sokongan diberikan kakitangan dan keluarga, saya berjaya membuka cawangan di Johor Bahru,” katanya yang sudah 20 tahun terbabit dalam industri ayam.

Berkonsepkan Halalan Toyiba dengan slogan ‘Bersih, Suci dan Selamat,’ syarikat itu menjadi salah satu daripada dua syarikat pemprosesan ayam milik Bumiputera yang membekalkan produk ayam halal di negeri itu.

Ditanya berkenaan pasaran ayam katanya, syarikat berkenaan mendapat bekalan ayam segar daripada tiga syarikat pembekal ayam terbesar.

“Pasaran ayam memang luas dan kami mengambil peluang untuk memasarkan produk halal kepada pengguna muslim di negeri ini.

“Status kami sebagai pengeluar produk Bumiputera memberi keyakinan kepada pengguna Islam untuk mendapatkan produk halal tanpa was-was,” katanya.

Keyakinan itu ditambah dengan proses sembelihan mematuhi syariat Islam, selain mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami juga mempunyai empat penyembelih ayam bertauliah daripada Majlis Agama Islam dan sijil halal JAKIM.

“Bagi memudahkan pengguna mengenali produk MASRI, setiap ayam akan ditag dengan logo halal serta nombor syarikat,” katanya.

Mengakui syarikat berdepan cabaran besar kepada pemain utama dalam bidang itu, dia sebaliknya berusaha untuk memberi kemudahan terbaik kepada pengguna dalam mendapatkan ayam halal.

Kini syarikat itu beroperasi di Taman Perindustrian Sinaran Jalan Mersing, Kluang, Johor, dengan menggunakan khidmat 40 pekerja tempatan dan asing membabitkan waktu operasi bermula dari jam 3 petang hingga 3 pagi.

Dia juga bercita-cita memasarkan ayam berjenama MASRI melangkaui negeri Johor termasuk melebarkan empayar perniagaan ke Selangor.

(Sumber: Harian Metro)

0 comments:

Post a Comment